PERMAINAN TRADISIONAL MASYARAKAT MELAYU
Friday, 11 April 2014
PERMAINAN CONGKAK
Permainan congkak memerlukan dua orang pemain sahaja. Papan congkak diperbuat daripada kayu yang berukuran 80 cm panjang dan 18 cm lebar. Kadangkala papan congkak ini diukir dengan ukiran yang indah.
Papan congkak mempunyai 10 atau 14 lubang yang dipanggil "kampung". Terdapat dua lubang besar di setiap hujung papan congkak. Lubang ini dipanggil "rumah". Permainan ini sangat digemari oleh kanak-kanak perempuan.
PERMAINAN CARI CUCU
Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak di luar rumah. Cari cucu dimainkan oleh beberapa orang atau dalam jumlah yang ramai. Halaman rumah atau tempat lapang merupakan gelanggang yang digemari oleh mereka. Dalam permainan ini, terdapat dua buah lagu khas yang didendangkan. Sehelai sapu tangan atau kain untuk menutup mata dan sebatang tongkat diperlukan dalam permainan ini.
Sebelum permainan dimulakan, seorang daripada mereka haruslah menjadi nenek. bagi menentukan siapa yang menjadi nenek, undian secara "lai lai li tam plong" perlu dijalankan. Sesiapa dalam kalangan mereka yang kalah dalam undian tersebut akan ditutup matanya dengan sapu tangan atau kain untuk dijadikan nenek. Sebatang tongkat diberikan untuk dipegang dan berperlakuan seperti nenek tua yang buta. Kesemua pemain membuat satu bulatan mengelilingi nenek dengan berpegangan tangan antara satu sama lain. Sebuah dendangan dinyanyikan oleh cucu secara beramai-ramai.
Lirik lagu Nenek-nenek Si Bongkok Tiga
Nenek, nenek
Si Bongkok Tiga,
Siang Mengantuk
Malam Berjaga
Mencari cucu
Di mana ada
Nenekku kahwin
Dengan anak raja
Cucu,cucu
Tak dapat lari
Nenek tua
Banyak sakti
Sekarang nenek
Nak cari ganti
Siapa kena
Dia yang jadi
PERMAINAN ACI SOROK
Di beberapa tempat, permainan ini dinamakan juga sebagai main sorok-sorok. Kanak-kanak amat menggemari permainan ini. Permainan ini amat mudah dan jumlah pemainnya tidak terhad. Lebih ramai yang bermain lebih mendatangkan keseronokan dan bertambah meriah lagi bagi mereka. Aci sorok merupakan sejenis permainan di luar rumah dan memerlukan kawasan yang luas. Sebatang pokok atau tiang akan dijadikan ibu atau rumah, iaitu induk untuk pemain yang akan mencari rakan mereka yang menyorok.
Sebelum permainan dijalankan, kesemua pemain akan mencari seorang yang dinamakan pencari. Undian secara "lai lai li tam plong" dijalankan kepada semua pemain. Setelah pencari ditentukan, dia hendaklah berdiri dengan menutup matanya di rumah induk. Kiraan akan dibuat antara 1 hingga 100 atau kurang bilangannya secara kuat. Setelah selesai kiraan dibuat, pencari akan mula mencari rakan pemain lain yang menyorok di sekitar kawasan yng telah ditetapkan. Sekiranya terdapat pemain yang menyorok di luar kawasan yang telah ditetapkan, pemain tersebut akan dikira "jadi" dan akan mengambil peranan sebagai pencari pula.
Subscribe to:
Posts (Atom)